Petua Mengatasi Putus Cinta


1.Jangan Hubungi Pasangan Anda - Jangan call, sms, e-mail atau apa-apa cara sekali pun. Jangan lakukan sebarang komunikasi kepada pasangan anda. Biarkan keadaan ini berlalu selama yang mungkin.

2.Jangan Hubungi atau Meluah Masalah Kepada Rakan Pasangan Anda - Disebabkan tidak dapat menghampiri pasangan anda, akhirnya anda memilih untuk menghubungi rakan pasangan anda dan meluah masalah anda dan pasangan anda. Keadaan ini akan memburukkan keadaan dan bukannya memperbaiki keadaan.

3.Luahkan Masalah Anda Hanya kepada Teman Rapat Anda Sahaja - Masalah cinta anda perlukan seseorang yang betul-betul rapat dan memahami anda. Dia mesti seorang yang betul-betul boleh mendengar dan menjiwai masalah anda. Cari mereka dan luahkan segala masalah perhubungan cinta anda.

4.Jangan Biarkan Diri Anda Keseorangan - Jangan sesekali letakkan diri anda berseorangan. Mungkin anda perlukan masa untuk bersendirian tetapi hakikatnya anda sebenarnya perlukan teman. Dengan erti kata lain, anda perlukan pasangan anda. Apabila anda letakkan diri anda keseorangan, anda akan cenderung untuk menghadapi masalah kemurungan “stres”.

5.Hadiahkan Diri Anda Dengan Sesuatu yang Menyeronokkan - Anda perlu sedar bahawa anda sedang bersedih. Jika anda terus bersedih maka, tiada penyelesaian dapat anda lakukan. Oleh itu, anda perlu hadiahkan diri anda sendiri dengan sesuatu yang ceria dan menyeronokkan. Pergi bercuti ke tempat yang asing daripada tempat anda. Ia mungkin boleh membantu anda meredakan kesedihan. Belikan sesuatu yang berharga kepada diri anda sebagai hadiah, kerana anda mampu mengharungi perpisahan ini.

Do’a Ketika Putus Cinta - “Rabbi laa tadzarnii fardaw wa anta khairul waaritsiin.” (QS. Al-Anbiyaa’ [21]:89)
Ertinya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.”

Petua Kecantikan Untuk Wanita


Melicin dan Memerahkan Kulit Muka
Ambil 1 biji buah tomato masak, lecek hingga halus. Kemudian pupurkan di seluruh muka. Biarkan ia kering selama 30 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkan seminggu 4 kali.

Menegangkan Kulit Muka
Ambil tepung ubi kayu dan mentimun. Timun itu hendaklah disagat atau dihancurkan terlebih dahulu. Kemudian campurkan kedua-duanya dengan air sedikit. Kacau rata dan jangan terlalu cair. Seterusnya, sapukan ke muka dan biarkan ia kering. Kemudian basuh. Dengan cara ini, ia dapat menegangkan kulit muka serta menampakkan keputihan di muka.

Menyerikan Wajah
Jika anda inginkan wajah anda sentiasa berseri apabila dipandang orang, amalkan selawat sebanyak 3 kali setiap pagi, sebelum mencuci muka. Seterusnya sapukan air itu ke muka anda.

Menghaluskan Kulit
Buah tomato dikisar halus. Lumurkan pada muka seberapa ketika. Sebaiknya dilakukan pada waktu malam kerana tiada gangguan. Setelah agak lama, cuci muka dengan air suam. Amalkan selalu. Buah tomato ini juga berfungsi untuk membersihkan kulit.

Petua Moden Untuk Awet Muda


Lindungi Kulit Daripada Matahari - Pendedahan terhadap pancaran cahaya matahari menjadi antara faktor berlakunya proses penuaan. Anda perlu menggunakan krim perlindungan matahari setiap hari. Penggunaan krim perlindungan itu menghalang proses penuaan sekali gus bertindak ke atas prapenuaan.

Jangan Merokok - Asap rokok secara tidak langsung mempercepatkan proses penuaan seseorang kerana asap tersebut akan menyerap kandungan oksigen pada kulit dan melambatkan pembentukan sel-sel baru sehingga membuatkan wajah kelihatan pucat serta mengundang garis-garis halus pada mata.

Pencucian Dalaman - Kebanyakan wanita tidak mengamalkan pencucian wajah sehingga bersih secara dalaman. Pencucian yang tidak bersih dipercayai akan mengundang kekeringan kulit dan kedutan. Anda tidak perlu menggunakan pencuci wajah yang mahal, sebaliknya pencuci biasa yang berbentuk krim boleh menanggalkan kekotoran apabila dikesat dengan kain kapas. Manakala, untuk kulit kering pula urut wajah dengan pencuci yang berminyak, biarkan selama beberapa minit dan cuci dengan air suam.

Pelembapan 2 Kali Ganda - Selain pelembapan seharian, anda juga boleh meningkatkan tahap pelembapan kulit sama ada menggunakan topeng muka atau menyapu krim pelembap mahupun krim malam dalam lapisan tebal pada seluruh wajah. Biarkan lapisan tebal itu selama lima hingga 10 minit dan lap dengan tisu.

Aktifkan Peredaran Darah - Penggunaan skrab wajah 2 kali seminggu dapat membantu melembutkan permukaan kulit. Skrab juga dapat mengaktifkan peredaran darah pada lapisan atas kulit. Dengan ini, ia membantu membentuk sel-sel baru pada wajah.

Penggunaan Bedak Asas -  Garis-garis halus dan kedutan dapat dihilangkan buat sementara waktu dengan penggunaan produk kosmetik yang sesuai. Misalnya, bedak asas dan bedak compact atau bedak halus membantu menutup garis-garis tersebut.

Kerap Membelai Wajah - Walaupun saban hari, anda menggunakan produk penjagaan kulit untuk memiliki kulit yang cantik tetapi rawatan wajah sebulan sekali amat membantu dalam menangani masalah kulit dan melambatkan proses penuaan. Gunakan rawatan wajah yang sesuai untuk mendapatkan hasil yang sempurna.

Pengendalian Lembut - Ketika menggunakan produk penjagaan kulit atau solekan, anda perlu oles secara lembut supaya ia tidak merosakkan kulit wajah. Kulit sekeliling mata disifatkan lebih lembut berbanding di bahagian lain. Maka ia perlu dibelai secara lembut ketika menyapu krim pencuci atau krim mata. Semasa menyapu krim pada mata atau wajah, anda dinasihatkan menyapu krim tersebut menghala ke atas dan bukan ke bawah.

Solekan Sempurna - Beli produk kosmetik yang mengandungi perlindungan UV kerana bahan-bahan tersebut dapat melindungi kulit daripada pancaran matahari. Buat sedikit penyelidikan sebelum membeli produk kosmetik terutamanya pembayang mata, maskara dan pengalit mata.

Penjagaan Tudung Dengan Betul



1. Pastikan tudung tidak diramas ketika mencuci, cukup sekadar dicelup dan angkat beberapa kali.

2. Cucian kering berfungsi mematikan pigmen warna pada sutera. Walaupun ia tidak luntur sekiranya dibasuh sendiri, sebagai langkah penjagaan elok dilakukan cucian kering.

3. Untuk cucian kali kedua dan seterusnya, gunakan bahan pencuci bersifat lembut.

4. Jangan berus atau tenyeh tudung berkenaan. Memadai jika anda mengepal lembut dan celup dua tiga kali sehingga bersih daripada bahan pencuci.

5. Tudung boleh dijemur di kawasan teduh.

6. Tidak perlu digosok.

7. Cara melipat tudung juga perlu betul. Jangan sekali-kali melipat bahagian sengkuap kerana jika sengkuap terlipat, ia tidak akan menjadi sempurna bila dipakai.

8. Sebaik-baiknya, cara menyimpan tudung yang mempunyai sengkuap ialah melipat dari bahagian bawah tudung. Gulung secara longgar dan masukkan ke dalam sengkuap.

Cara Melayan Suami Dengan Betul

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami. Begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa.Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau bolehsediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

13. Isteri perlu sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

Petua Untuk Kesihatan Payudara

Mohon maaf jika petua ini agak menyinggung ketenteraman sesetengah pihak. Tujuannya hanyalah sekadar untuk berkongsi maklumat demi kebaikan kaum wanita sahaja. Terima Kasih.
1. Lakukan Pemeriksaan – Setiap wanita sebaiknya memeriksa payudaranya sendiri, paling tidak sebulan sekali pada tarikh yang sama, apabila tiada haid. Bagi yang masih mendapat haid, waktu terbaik memeriksa payudara ialah beberapa hari setelah berakhirnya masa haid, setiap bulan. Ketika itu payudara sudah kembali lembut. Jika terdapat sebarang perubahan, anda disarankan berjumpa doktor.
2. Pembedahan – Elakkan melakukan pembedahan payudara jika sekadar untuk membesarkan ukurannya. Kecantikan wanita bukan sekadar terletak pada aset ini sahaja, tetapi terletak pada ‘hatinya’.
3. Senaman – Lakukan senaman dan perawatan payudara secara sendirian iaitu senam payudara dan yoga. Salah satu cara melatih otot pektoral adalah dengan menekan kedua-dua telapak tangan separas dagu pada dinding (seperti posisi mendorong), arahkan pandangan ke langit, tahan beberapa detik, kemudian lepaskan. Ulangi latihan ini sampai 10 kali. Latihan ini boleh dilakukan ketika anda berada di bilik mandi. Rasakan tarikan pada otot pektoral ketika anda menggerakkan kepala ke atas. Kegiatan mengangkat dan menurunkan bahu, apabila dilakukan berulang-ulang, dapat memperkuatkan otot dada.
4. Urutan – Mengurut payudara dengan minyak aroma terapi dapat menjaga keanjalan payudara. Urutan amat baik untuk merangsang sirkulasi darah. Caranya ialah melakukan urutan ke arah luar, ke bawah dan ke arah dalam. Kemudian mengikuti aliran getah bening ke arah ketiak, ke bawah tulang selangka dan ke arah tulang dada. Dibandingkan dengan masker dan krim yang disapukan, penggunaan minyak aroma terapi adalah lebih efektif kerana urutan akan lebih mudah meresap ke dalam kulit, mengalir dalam darah, kelenjar susu serta menyusup ke seluruh tubuh.
5. Bersihkan Payudara – Payudara yang sihat adalah payudara yang bersih. Perhatikan kebersihan puting yang merupakan tempat keluar air susu, sekaligus kelenjar minyak yang berfungsi untuk melicinkan puting dan arela, agar tidak kering dan kulitnya tidak pecah. Gunakan kapas yang sudah dibubuhi minyak zaitun untuk membersihkan sisa kelenjar iaitu kelenjar minyak yang sering melekat pada puting.
6. Penggunaan Coli – Gunakan baju dalam atau coli yang sesuai dengan anda dan bukannya sekadar melekap di situ sahaja. Seelok-eloknya memakai coli yang sesuai mengikut saiz payudara, iaitu sepanjang tempuh kehamilan dan waktu menyusu anak.
7. Penyusuan – Sekiranya anda menyusukan anak, letakkan posisi bayi dengan betul dan selesa agar ia tidak terlalu menarik payudara. Terdapat masalah dalam tempoh penyusuan, ia termasuk bengkak buah dada. Cara mengatasi masalah itu, perah payudara perlahan-lahan untuk melembutkan terlebih dahulu.

Petua Untuk Hidup Bermadu



1. Jangan peduli apa orang kata, peduli hanya apa yang keluarga dan suami anda kata kerana hanya mereka yang berjasa dan berkepentingan dalam hidup anda.

2. Masyarakat hanya tahu mengutuk, tetapi tidak tahu memberi jalan penyelesaian. Tidak berdosa hidup bermadu, tidak hina menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat, dengan syarat suami anda mestilah seorang suami bukannya seorang ‘lelaki’.

3. Sentiasa merendah diri dan hormati isteri pertama, biar dia marah atau mengata apa sahaja asalkan anda sentiasa mengalah.

4. Kuatkan hati  bahawa perkahwinan anda adalah mencari keredaan Allah melalui kebaikan suami. Jika niat jelas dan ikhlas, lama-kelamaan isteri pertama akan lembut hatinya bahkan dia boleh menjadi kawan baik.

5. Pasti anda tenang apabila madu menghubungi dan bertanyakan khabar anda di kala suami bersamanya. Lakukan perkara serupa kepadanya apabila suami bersama anda pula.

6.  Senangkan hati suami, dia akan menyenangkan hati anda. Bukankah semua isteri mahu disayangi suaminya?

7.  Lupakanlah kesedihan dengan banyak mengingati anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada diri dan keluarga. Nikmat Allah bukan berupa harta dan kesihatan sahaja, tetapi juga nikmat dibelanya kita daripada kejahatan makhluk-Nya. Betapa Allah telah melindungi kita dan orang-orang yang kita kasihi daripada perbuatan jahat manusia, ataupun musibah yang datang tidak berbau, kehilangan harta benda dan nyawa. Allah SWT telah mencukupkan keperluan hidup kita dan menyempurnakannya dengan keperluan jiwa kita iaitu hidayah Allah. Hati yang bersyukur tidak mudah diperdaya oleh syaitan kerana ia sentiasa berpijak di atas jalan Allah. Kembali kepada Allah, jika tersasar dan menganggap mudah segala ujian kerana ia adalah lumrah kehidupan. Bukankah ramai lagi manusia yang lebih tinggi ujiannya berbanding dengan diri kita? Jika dinilai nkmat Allah itu, sebenarnya ia melimpah-limpah jika dibandingkan ujian yang sedikit.

8.  Atasilah masalah hati dengan membuat hati sentiasa sibuk. Jika ia dibiarkan kosong nanti yang duduk di dalamnya adalah syaitan. Jangan hancurkan hati dengan tangan anda sendiri, rawatlah ia dengan bertafakur, isilah dengan ilmu, sibukkannya dengan amal-amal soleh. Jika hati disakiti, carilah tempat selamat dan hindari sarang-sarang penyamun yang cuba menyakiti hati anda untuk kali kedua. Sibukkan diri dengan emmanafaatkan setiap detik yang berlalu agar ia membuahkan pahala. Satu saat kita berdendam akan kita tangisi di dunia dan di akhirat nanti, manakala satu saat kita bekerja menjadi kegembiraan dunia dan akhirat juga.

9. Kebahagiaan itu bermula dari hati dan tubuh badan yang sihat. Jika hati sakit, pastinya boleh menjejaskan kesihatan jasmani juga. Hiduplah dengan aktiviti kecergasan, berjogging dan bersenam, menjaga badan dan kecantikan diri, melakukan kerja-kerja amal yang bermanafaat, melancong sambil bertakafur, makan makanan yang seimbang, selain itu makanan rohani juga jangan dilupakan. Berazamlah untuk mengatasi segala dugaan dengan syukur, sibuk dan sihat. Mohonlah pertolongan Allah dan bergantunglah pada tali-Nya.

10. Anda perlu sentiasa memainkan peranan aktif supaya hati suami selalu senang dan tenang kerana apabila hati suami senang, madu anda juga senang hatinya. Secara langsung, kebaikan itu datang kepada anda juga, hati akan terus diselubungi kebahagiaan tanpa sedikit pun rasa iri bermukim di hati.

Petua Kesihatan Untuk Wanita 30-an

  • Kawal Pemakanan - Proses penuaan dapat dilambatkan jika kita mengamalkan pemakanan yang seimbang. Banyakkan makanan berserat tinggi, sayur dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak, minuman yang mengandungi banyak kafein, minuman ringan dan makanan ringan.
  • Guna Pelembap Yang Sesuai - Apabila umur anda menjangkau 30-an, keanjalan dan kelembapan kulit semakin kurang. Oleh itu penggunaan krim pelembab sangat diperlukan. Carilah pelembab yang sesuai dengan kulit muka masing-masing. Anda perlu ingat bahawa krim muka jenama popular dan mahal tidak semestinya sesuai dengan jenis kulit anda.
  • Elakkan dari Pancaran Cahaya Matahari - Jangan biarkan muka anda banyak terdedah kepada cahaya matahari dalam jangkamasa yang panjang. Pendedahan yang lama bukan saja menggelapkan kulit, ianya juga dapat mengurangkan kelempapan kulit yang membawa kepada kekeringan.
  • Sentiasa Bersenam - Bersenam mampu meningkat keupayaan dan kesihatan. Pastikan anda melakukan senaman ringan setiap hari selepas bangun tidur. Jika  ada masa, lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
  • Minum Banyak Air - Kekeringan dan gejala penuaan boleh diperlambatkan dengan. meminum banyak air. Ini kerana, air adalah aset penting untuk kesihatan tubuh badan terutamannya kulit muka. Kekurangan jumlah air dalam badan boleh menyebabkan anda mudah diserang pelbagai penyakit. Selain itu, air penting untuk proses penghadaman dan penyingkiran toksin dalam tubuh badan.
  • Makanan Tambahan - Pengambilan vitamin amat digalakkan untuk wanita 30-an. Kesibukkan dengan tugasan di pejabat dan di rumah menyebabkan kebanyakkan wanita jarang mengamalkan pemakanan seimbang. Jadi, pengambilan vitamin dapat membantu menyelesaikannya.
  • Elakkan Bermekap Tebal - Wanita 30-an seelok-eloknya menggunakan mekap yang nipis dan sederhana. Cuba elakkan dari menggunakan foundation yang tebal serta lipstik yang merah menyala. Ianya akan membuatkan anda nampak lebih tua dan garang.
  • Positif, Ceria dan Selalu Bersama Yang Tersayang - Wanita 30-an mestilah mengamalkan sikap positif, sentiasa ceria dan selalu bersama yang tersayang. Kehadiran orang-orang tersayang di sekeliling dapat membantu anda membina keyakinan diri dan menghilangkan tekanan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Face Book SSA

Artikal Terbaru

5 Artikel Popular

Novel Pilihan

Ruangan Iklan

  • Promote Our Blog