Jerat Cinta Internet


HATI berdebar-debar malah mungkin tidak lena melelap mata mengenangkan pertemuan kali pertama dengan si dia apatah lagi jika tidak pernah bertentang mata.
Namun, sering juga didengari bermacam keburukan akibat pertemuan kali pertama selepas berkenalan di alam siber.
Ada yang mengadu dirinya terpedaya oleh pengguna Internet yang menipu identiti diri. Lebih melucukan, ada yang mengaku masih bujang walaupun anak sudah berderet.
Tidak kurang juga si perempuan yang bergelar tunangan atau isteri orang yang masih cuba ‘menjerat’ cinta sekadar untuk memenuhi masa lapang atau suka-suka.
Segelintirnya melahirkan rasa kesal atas penipuan pasangan yang menjadi lawan sembang Internetnya itu.
Namun, ada juga yang tidak pernah serik. Lebih merisaukan, jerat yang sama digunakan untuk memancing mangsa yang lain pula.
Dari sudut positif pula (biarpun tidak terlalu tinggi), ada yang menemui cinta sejati dan berakhir dengan perkahwinan membahagiakan.
Bagi yang melalui detik indah, pastinya sembang di Internet itu menjadi kenangan manis dalam perhubungan antara dua insan bercinta.
Apapun, tidak salah jika mengambil langkah berjaga-jaga sejak awal. Beringat sebelum kena, bukan menyesal sesudah terkena.
Untuk mengelak daripada terkena, renungkan panduan berikut yang boleh dijadikan peringatan:
Ketahui seseorang dengan mendalam terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk bertemunya.
Gunakan e-mel atau laman sembang untuk berkomunikasi. Jangan mudah memberi nombor telefon kerana anda tidak benar-benar mengenali rakan siber baru anda itu.
Cuba bertanya soalan yang boleh membantu anda mengenalinya sama ada dia pasangan yang dicari-cari.
Tanya soalan sebanyak mungkin sehingga anda benar-benar mengenali personaliti seseorang itu.
Sentiasa simpan maklumat yang diberitahu pasangan baru anda itu mengenai dirinya. Pastikan maklumat itu tidak berubah apabila anda bertanya mengenainya pada waktu yang lain. Ini penting untuk memastikan dia bersikap jujur atau sebaliknya.
Kebiasaannya, ada dua golongan dalam masyarakat Internet. Golongan pertama ialah mereka yang suka menyamar dan tidak mendedahkan identiti, lazimnya mereka punya niat tertentu.
Golongan kedua pula ialah mereka yang sentiasa bersikap jujur. Golongan ini berpendapat memandangkan mereka tidak dapat dilihat orang lain, tiada sebab mereka perlu berpura-pura.
Jangan mudah percaya pada sesiapa saja walaupun orang yang anda hubungi melalui Internet kelihatan seperti benar-benar memahami diri anda. Ini kerana masih ramai orang yang berpura-pura di Internet.
Jangan menganggap sembang di Internet terlalu serius kerana ia hanya tempat mencari teman baru. Anda masih perlu berjumpa secara fizikal untuk benar-benar mengenali pasangan anda.
Anda boleh memberi maklumat yang anda inginkan tetapi jangan mendedahkan maklumat peribadi seperti alamat rumah, sekolah, telefon atau tempat kerja.
Berhati-hati jika individu itu mendesak untuk mendapatkan maklumat peribadi anda.

Apa Kata Anda

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Face Book SSA

Artikal Terbaru

5 Artikel Popular

Novel Pilihan

Ruangan Iklan

  • Promote Our Blog