Betul Ke Setiap Orang Kuat Merajuk?

Mustahil ada orang merajuk tiada bersebab. Barangkali kita yang tidak tahu sebabnya. Penyakit merajuk tidak kenal gender atau usia. Lelaki dan wanita sama sahaja kerana kedua-duanya pandai merajuk. Siapa kata lelaki tidak pandai merajuk? Lelaki pun ada perasaan dan sensitiviti seperti perempuan. Cuma lelaki lebih bijak apabila merajuk kerana dia tahu tiada siapa yang akan memujuk. Wanita apabila merajuk memang menakutkan terutama bagi lelaki yang tidak pandai memujuk. Penyakit merajuk ini kalau tidak pandai memujuk, meleret-leret jadinya. Malah berpanjangan sampai beberapa hari.
Memujuk juga kena ada cara dan gaya kerana silap-silap akan bertukar menjadi pertengkaran. Malah apabila selalu dipujuk, maksudnya setiap kali dia merajuk, kita memujuk, lama-lama dia naik tocang. Silap sikit, merajuk. Tidak kena sikit, tarik muka masam. Salah sikit, memuncung. Boleh pengsan kita dibuatnya.
Merajuk orang muda yang baru bercinta atau baru mendirikan rumah tangga merupakan perkara biasa. Sesekali merajuk ada faedah juga kerana dapat menambahkan keindahan kasih sayang. Perempuan kalau pandai merajuk memang manis dan menggoda. Merajuk orang bercinta dapat memberikan kesegaran kepada cinta. Tetapi janganlah kerap sangat nanti runtuh cinta. Merajuk laksana awan gelap. Selepas awan menghilang, maka teranglah langit. Selepas hilang merajuk, muncullah kasih, timbullah sayang. Bagi suami isteri, detik-detik selepas merajuk sering digunakan untuk bermadu kasih, bertangkup sayang. Kepada si suami, inilah waktunya mendukung si isteri ke ranjang ... pasti ada kelainannya.! (Bagi pasangan yang belum bernikah, abaikan cadangan ini. Saya tak akan menanggung dosa-dosa anda).
Orang tua bagaimana? Orang tua lagi hebat merajuknya. Tiada detik yang paling hodoh bagi orang tua melainkan ketika dia merajuk. Namun begitu, orang tua pastinya matang dan tidak rela menanggung malu merajuk di depan cucu. Lantas, boleh sahaja merajuk secara sembunyi-sembunyi di celah pintu atau di sudut dapur. Biasanya merajuk orang tua ditujukan kepada si anak-anak yang berkumpul sekali-sekala. Bukan apa, hanya mahu manja-manja sama anak anak.
Merajuk banyak puncanya. Dikatakan bahawa lelaki yang tidak peka terhadap kehendak dan kemahuan wanita boleh menyebabkan wanita merajuk. Maklumlah wanita begitu sensitif, lemah kawal emosi, suka bermanja yang kekadang berlebih-lebihan. Tetapi sifat-sifat inilah yang menjadi daya tarikan wanita. "Aku tidak akan jatuh cinta kepada wanita yang langsung tak tahu merajuk!" Itu kata sahabat saya "Aku pula tak akan kahwin sama wanita yang tak tahu manja!" Ini kata saya. Ada tak di dunia ini wanita yang tidak tahu merajuk dan manja? Kalau ada, pastilah wanita robot.
Lelaki mesti peka terhadap kemahuan wanita, kalau tidak lebih baik jadi wanita sahaja. Kemahuan wanita mungkin beratus atau beribu. Justeru, kepekaan lelaki seharusnya beratus dan beribu juga? Kemahuan jenis suka makan keropok lekor tidak ada masalah. Tetapi kemahuan jenis pantang terlihat pakaian baru, beg baru, perabot baru, kereta baru dan segala yang baru semuanya nak beli, botak kepala suami belum tua. "Bang, jiran sebelah dah tukar kereta baru, kita bila lagi?" Aduhai sedapnya dengar, sejuk menusuk telinga abangnya. Nak tukar kereta baru. Kemahuan jenis ini seandainya si abang gaji seciput, tambah anak pula berdozen, betapa peka sekalipun susah nak layan.
Adakalanya isteri merajuk ketika ibu mentua dari kampung datang ke rumah. Al-maklumlah ibu lama-lama datang sekali, menjadi tanggungjawab si anak melayannya dengan baik. Tetapi isteri pula tersalah tafsir ingat si suami sayang ibunya lebih daripada dia. Dia pun merajuk. Kalau jenis yang boleh dipujuk, tak mengapa. Kalau jenis yang tak makan pujuk? Serba salah si suami dibuatnya. Sebelah kanan ibu, sebelah kiri isteri, dan kedua-dua pun dikasihi dan disayangi. Situasi yang sukar bagi seorang suami. Suami yang bijak dapat selesaikan masalah ini dengan baik umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berterabur. Bagaimana kalau suami itu kurang bijak? Minta ibu segera balik ke kampung? Derhaka namanya. Biarkan sahaja isteri memuncung 24 jam dan berjalan menghentak-hentak kaki di depan ibu mentuanya?
Merajuk kadang-kadang tanpa disedari sebabnya bagai langit yang cerah, tanpa awan tanpa ribut, tiba-tiba hujan mencurah turun. Tentu anda kurang percaya kalau dikatakan wanita mahupun lelaki boleh merajuk walaupun dengan seekor ikan. Wanita begitu sensitif apabila dia mendapati kekasihnya atau suaminya melayan "benda lain", termasuk ikan, burung, layang-layang, atau internet, melebihi layanan yang diberikan kepada dia. Seelok-eloknya, layanlah apa-apa yang ada pada wanita itu melebihi benda lain. Atau sekurang-kurangnya layanan tersebut mesti seimbang.
Oleh itu, kalau anda suka ikan akuarium, masa melihat ikan berenang, jangan lupa belai-belai rambut isteri anda, cubit-cubit dagunya, gosok-gosok telinganya, atau ramas-ramas pehanya. Tetapi jangan sekeh-sekeh kepalanya. Boleh kata, lakukanlah apa-apa ke atas pasangan anda yang dapat menunjukkan bahawa anda mengambil berat dirinya lebih daripada segala-galanya.
Punca merajuk kalau hendak disenaraikan kesemuanya, tidak akan habis. Petik awan jadikan hamparan kertas, segunung pokok jadikan pensel, belum cukup untuk menulis punca merajuk.
Pertimbangan akal amat diperlukan untuk menangani masalah merajuk. Sebenarnya merajuk boleh dikawal kerana puncanya daripada emosi. Setiap perlakuan emosi dapat dikawal oleh akal. Persoalannya, sama ada kita mahu menggunakan akal atau tidak? Atau kita lebih suka membiarkan emosi menguasai kita? Jangan memilih cara kedua kerana kita bakal kecundang di lembah kemusnahan berumah tangga.
Dengan kata lain, merajuk harus ada batasan. Merajuk yang melampau akan mengundang kemarahan orang yang hendak memujuk. Tiada gunanya apabila merajuk tetapi tiada orang memujuk, kerana tujuan merajuk adalah untuk dipujuk.

Apa Kata Anda

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Face Book SSA

Artikal Terbaru

5 Artikel Popular

Novel Pilihan

Ruangan Iklan

  • Promote Our Blog