Pertunangan Satu Perjanjian

Pihak yang memungkiri perlu bayar ganti rugi

BAGI keluaran kali ini kita akan menumpukan perbincangan dalam topik pertunangan. bagaimanapun, adalah wajar bagi kita memahami pengertian atau konsep pertunangan itu terlebih dulu.

Pertunangan bererti menzahirkan keinginan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita yang tertentu atau memberitahu kepada wanita itu atau ahli keluarganya (biasanya walinya) hasrat untuk berkahwin.
Mengikut hukum Syarak pertunangan ialah satu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian lisan untuk berkahwin. Pada ketika itu haram bagi orang lain untuk mengikat pertunangan dengan wanita itu.
Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan sudah membuat peruntukkan mengenai kemungkiran perjanjian perkahwinan dan kesannya ikatan pertunangan dianggap sebagai satu perjanjian yang mengikat di sisi undang-undang. 
Pada kebiasaannya, mengikut adat resam orang Melayu sebelum sesuatu perkahwinan itu dilangsungkan, majlis pertunangan akan diadakan. Amalan menjalankan majlis pertunangan ini adalah lebih mirip kepada adat Melayu daripada berdasarkan tuntutan agama Islam itu sendiri.
Amalan pertunangan itu boleh dilaksanakan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak. Malahan pertunangan boleh mendatangkan beberapa kebaikan dan faedah kepada pihak keluarga yang terbabit. Di samping bertukar-tukar hadiah atau pemberian di antara kedua-dua belah pihak, pertunangan juga dapat menjalinkan hubungan kekeluargaan yang rapat antara keluarga pihak lelaki dan wanita yang bakal berkahwin. Dengan itu akan terbit perasaan kasih sayang dan saling hormat menghormati antara mereka.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa ikatan pertunangan bukanlah satu ikatan yang sah yang boleh menghalalkan pasangan terbabit untuk menjalinkan hubungan seperti suami isteri yang sah. Pergaulan mereka perlu dibatasi mengikut hukum Syarak sehinggalah majlis akad nikah dilangsungkan.

Pada zaman moden ini, kebanyakan pasangan yang sudah mengikat tali pertunangan menganggap bahawa ikatan itu sudah menghalalkan hubungan di antara mereka. Ibu bapa dan keluarga perlu mengambil berat soal pergaulan pasangan di alam pertunangan ini supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku dalam perhubungan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga itu.

Perkara itu jangan dipandang remeh dan akhirnya akan menconteng arang di muka sendiri. Pergaulan bebas tanpa batasan semasa di alam pertunangan akan menyumbang kepada berlakunya kelahiran anak luar nikah dan masalah sosial yang lain.

Mungkir janji

Pertunangan hanyalah suatu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya. Dengan itu tidak semua ikatan pertunangan akan berakhir dengan perkahwinan.

Bagaimanapun, apabila suatu pihak enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi selepas termeterai ikatan pertunangan tanpa sebab-sebab yang munasabah dan sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju untuk meneruskan perkahwinan itu dengannya maka pihak yang memungkiri adalah bertanggungjawab memulangkan:
  • pemberian pertunangan (jika ada); atau
  • memulangkan nilainya; atau
  • membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.
Perkara ini sudah diputuskan dalam kes Salbiah Othman lawan Ahmad Abdul Ghani (1427)H JH XXI/I, yang mana mahkamah membenarkan tuntutan dibuat terhadap pihak yang mungkir untuk segala perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak yang terkilan seperti persiapan untuk majlis pertunangan, persiapan untuk perkahwinan termasuk penyediaan pakaian persalinan pengantin, tempahan langsir, deposit khemah, barangan runcit dan kos jemputan.

Ini juga termasuklah segala kos ubahsuai bilik tidur/bilik air, mengecat rumah dan segala pemasangan wiring rumah dan kipas. Bagaimanapun, mahkamah menyatakan tuntutan ganti rugi kerana keaiban atau malu yang ditanggung oleh sebab putus tunang itu tidak boleh dituntut di Mahkamah Syariah. Sebaliknya tuntutan boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil (tuntutan sivil).

Oleh itu, mana-mana pihak boleh membatalkan perjanjian itu, jika ada sebab yang sah dan munasabah yang membolehkannya berbuat demikian seperti wanita itu adalah tunangan orang atau lelaki itu adalah suami orang, wanita atau lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan orang lain.

Nota: Segala keterangan yang diberikan dalam petikan ini adalah berlandaskan hukum Islam dari sudut pandangan Mazhab Shafie yang dianuti oleh umat Islam di Malaysia. 

Apa Kata Anda

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Face Book SSA

Artikal Terbaru

5 Artikel Popular

Novel Pilihan

Ruangan Iklan

  • Promote Our Blog